Kerjasama lahirkan usahawan teknologi CCTV
PUTRAJAYA 21 Jan. – Pusat Giat Mara hari ini menandatangani perjanjian dengan Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) dan pengeluar produk teknologi, komunikasi dan maklumat (ICT), My- Partners Sdn. Bhd. untuk membolehkan 210 pelajarnya dilatih memasang kamera litar tertutup (CCTV) di syarikat itu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Khaled Nordin berkata, di bawah perjanjian itu setiap peserta akan diberi RM15,000 pinjaman Tekun.
“Di bawah program seumpama itu, 27 syarikat bumiputera yang berjaya termasuk My-Partners dipilih menjadi pembimbing atau mentor kepada bakal usahawan,” katanya ketika berucap pada majlis menandatangani perjanjian tersebut di sini hari ini.
Pada perjanjian tiga hala itu, Pusat Giat Mara diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Giat Mara Sdn. Bhd., Mariam Abdul Majid; Tekun oleh Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Rahim Hassan manakala My-Partners oleh Pengarah Urusannya, Omar Shariff.
Menurut Khaled, Pusat Giat Mara tidak lagi hanya berperanan sebagai tempat mengeluarkan tenaga kerja tetapi juga berkemampuan melahirkan peniaga dan usahawan yang berjaya.
Dalam pada itu, Omar berkata, pelajar akan dibimbing serta diberi peluang berkecimpung dalam perniagaan pemasangan CCTV.
Menurutnya, 20 peserta elit juga berpeluang menyertai program perniagaan di luar negara termasuk di Singapura, Indonesia dan Vietnam.

Source: Utusan Malaysia, 22 January 2008